8 PENYAKIT KANAK-KANAK YANG PALING BERBAHAYA



Kanak-kanak adalah individu yang paling mudah terdedah dengan pelbagai penyakit berbahaya di dunia.
Malah, jumlah kematian kanak-kanak yang menghidap penyakit berbahaya semakin meningkat. Akan tetapi, ia boleh dicegah jika kanak-kanak itu diberi vaksin dan dijaga dengan betul.
Walaubagaimanapun, masih ramai ibu bapa di luar sana yang tidak bersedia dan tidak dididik tentang penyakit berbahaya yang boleh meragut nyawa anak mereka. 
Oleh itu, kami di theAsianparent ingin memberi sedikit maklumat berguna pada semua ibu bapa tentang penyakit kanak-kanak yang berbahaya, dan perlu dipantau oleh anda. 
Maklumat ini diperoleh daripada pihak WHO sendiri.

Mari lihat apakah 8 penyakit kanak-kanak tersebut:

1. Pneumonia


Hampir 81% kematian akibat penyakit pneumonia terjadi pada kanak-kanak yang berusia 2 tahun ke bawah. 
Radang paru-paru ini boleh disebabkan oleh bakteria, fungus, virus atau parasit. Namun, penyelidik menganggarkan ia boleh dicegah dengan vaksin. Antara sebab utama mengapa kanak-kanak diserang pneumonia adalah kerana kekurangan zat, penyusuan susu ibu yang kurang optimal, dan kekurangan zink. 

2. Cirit-birit


Cirit-birit yang dialami kanak-kanak sebahagian besarnya disebabkan oleh jangkitan dari virus rotavirus, bakteria salmonella atau dari parasit giardia. 
Kunci utama untuk mengelak penyakit ini adalah dengan mencegah anak terkena dehidrasi (kurang air). Cirit-birit boleh membuatkan tubuh anak anda kehilangan banyak air, jadi untuk kembali pulih, mereka perlu minum banyak air. Kalau tidak, cirit-birit boleh membawa kepada sawan, kerosakan otak atau maut.

3. Malaria


Malaria adalah penyakit yang paling berbahaya untuk kanak-kanak. Penyakit ini dibawa oleh nyamuk dan boleh menjangkiti individu dengan mudah.
Kanak-kanak yang menghidap malaria akan mengalami demam, menggigil kesejukan, selesema dan boleh maut jika tidak dirawat dengan segera.

4. Polio


Polio boleh tersebar melalui sentuhan dengan najis, mukus, atau dari air liur penghidapnya.
Polio mampu menyerang otak dan saraf tunjang hingga menyebabkan kelumpuhan. Ia boleh dicegah dengan pengambilan vaksin yang diberi pada bayi ketika berusia 8 minggu, 12 minggu dan 20 minggu.

5. Campak


Campak adalah virus yang berbahaya buat kanak-kanak di bawah usia 5 tahun. Ia amat senang dijangkiti oleh mereka.
Biasanya, anak yang terkena campak akan naik titik-titik di mulut dan hidung mereka. Kemudian, mereka akan menghidap selesema dan demam. Campak boleh menyebabkan krup, bronkitis dan menjangkiti sistem saraf. Campak boleh diatasi dengan pemberian vaksin.

6. Difteria


Difteria adalah penyakit yang melibatkan pernafasan atau kerongkong. Ia boleh berjangkit namun mampu dielak jika anak anda telah diberi vaksin yang sepatutnya.
Penyakit ini menyebabkan masalah pernafasan, kecederaan pada jantung atau sistem saraf dan boleh membawa maut. Dalam kes-kes tertentu, difteria boleh menyebabkan nodus limfa kanak-kanak membengkak lalu menyukarkan pernafasan.

7. Tetanus (kancing dagu)


Tetanus atau kancing dagu boleh berlaku akibat pencemaran di kawasan luka. Jangkitan ini boleh menyebabkan kekejangan otot di rahang atau di seluruh badan.
Organisma yang boleh menyebabkan tetanus ada dalam tanah. Jadi, jika mana-mana kawasan luka anak anda terkena tanah, mereka mungkin boleh dijangkiti tetanus. Tetanus juga boleh dijangkiti melalui gigitan haiwan. Namun, ia boleh dicegah dengan pemberian vaksin. 

8. Pertusis (batuk kokol) 


Pertusis atau dikenali sebagai batuk kokol adalah penyakit kanak-kanak yang paling mudah merebak.
Ia menyebabkan kanak-kanak sukar bernafas dan mengalami batuk kokol selama lebih daripada 20 kali dalam satu nafas tunggal.
Penyakit ini bermula dengan selesema, kemudian anda akan dengan anak batuk “tercungap-cungap” seolah mereka susah untuk menarik nafas. Kes-kes yang teruk boleh menyebabkan muntah, turun berat badan, kecederaan otak dan maut. Bayi adalah insan paling berisiko. Oleh itu ibu bapa semua, sentiasa jaga malah pantau tahap kesihatan anak-anak anda. Semua penyakit berbahaya ini boleh dicegah dengan pemberian vaksin. Jadi, dapatkan vaksin seperti yang sepatutnya. Jika anda ada sebarang persoalan dan kemusykilan, segera rujuk ia pada doktor pakar.

Semoga anak-anak kita sentiasa dilindungi.


Comments

Popular Posts